MARIANI bersama dua anaknya menjual nasi lemak warna warni berharga RM1 di Pasar Pagi Teluk Ketapang, Kuala Terengganu. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


MENGEKALKAN harga RM1 sebungkus selain menggunakan bungkusan berwarna-warni menjadi rahsia kepada seorang peniaga nasi lemak di Kuala Terengganu melariskan jualannya.

Nasi Lemak Abi atau lebih popular dengan panggilan ‘nasi lemak warna-warni’ itu mampu terjual antara 300 hingga 400 bungkus sehari pada hari biasa.

Manakala pada setiap Jumaat, nasi lemak sambal ikan bilis dengan telur rebus dan timun itu hanya mengambil masa 45 minit hingga satu jam sahaja untuk terjual 800 bungkus.

Pengusahanya, Mohd Norhisyam Maat, 33, dari Taman Desa Tanjung Damai (TDTD) Gong Badak, berkata dia tidak pernah menjangka nasi lemak RM1 itu mendapat sambutan luar jangkaan.

“Saya berniaga bersama isteri dan dua anak dan menggunakan resipi nasi lemak warisan keluarga dari Selangor.

“Pada peringkat awal, kami hanya menjual 100 bungkus, tetapi sambutan diterima semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Paling kurang 200 hingga 300 bungkus nasi lemak perlu disediakan setiap hari dan kami berniaga di depan Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SKKGB).

“Setiap Jumaat kami berniaga di Pasar Pagi Teluk Ketapang, Seberang Takir,” katanya ketika ditemui di gerainya, hari ini.

Norhisyam berkata, biasanya sebanyak 200 bungkus nasi lemak dijual SKKGB itu hanya mengambil masa selama 15 minit untuk habis kerana pelanggan beratur seawal 7 pagi untuk membelinya.

“Seronok berniaga seperti ini, walaupun keuntungan diterima kecil namun melihat kegembiraan pelanggan membeli nasi lemak murah membuatkan kami berasa puas.

“Bukan sahaja sebab murah nasi lemak itu laris, tetapi cara pembungkusan unik selain ia menepati citarasa pelanggan.

“Kami turut berniaga di Pasar Malam Wakaf Tembesu, Pasar Malam Gong Badak dan Pasar Malam Pak Tuyu selain mengambil tempahan pelanggan,” katanya.

Menurutnya, konsep perniagaan dijalankan itu tidak terlalu mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi lebih kepada membantu golongan kurang berkemampuan.

Katanya, kos bahan mentah semakin naik serta cara pembungkusan unik membuatkan ia memerlukan modal agak besar.

“Bagaimanapun ia tidak mendatangkan masalah kerana keuntungan tetap ada dengan syarat nasi lemak itu terjual dengan jumlah banyak.

“Jika tidak, mana mungkin kami terus kekalkan harga RM1 sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dia menerima banyak tempahan daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta selain pihak sekolah dan universiti di daerah ini.

Katanya, kesudian isteri serta anak membantu menjalankan perniagaan itu menyebabkan dia tidak perlu mengupah pekerja.

Isterinya, Mariani Mohammad, 35, berkata, dia baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam Jurusan Fisiologi Tumbuhan di Univesiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya tak kisah membantu suami berniaga walaupun sibuk dengan pelbagai tugasan ketika pengajian sejak suami mula berniaga.

“Rasa letih terubat apabila melihat nasi lemak dijual itu laris dan anak pula gembira,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 9:16 PM