AKSI dua anggota polis yang mengutip kaca dan papan lapis di lebuh raya. FOTO Ihsan Pembaca
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


KUTIP kaca dan papan lapis di lebuh raya selama sejam. Itu pengorbanan anggota polis trafik yang melangkaui tugasan hakiki mereka.

Hari ini tular beberapa gambar dan video yang menunjukkan anggota polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) sedang memungut papan lapis dan cermin kaca yang terjatuh di lebuh raya, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku di KM 32 Lebuhraya Persekutuan, menghala Kuala Lumpur, berhampiran City Universiti, Petaling Jaya kira-kira 7 pagi, selepas serpihan cermin dan papan lapis berkenaan terjatuh dari sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, sementara menunggu petugas lebuh raya tiba, anggotanya mengutip serpihan berkenaan.

“Seramai empat anggota dari JSPT Petaling Jaya terbabit dalam penugasan rondaan kesesakan sebelum mengesan kejadian itu dan laluan terpaksa ditutup sepenuhnya.

“Sementara menunggu pihak lebuh raya membersihkan jalan, anggota kami mengutip serpihan yang bertaburan di lebuh raya sehingga 8 pagi sebelum laluan dibuka kepada kenderaan awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, dia memuji sikap bertanggungjawab yang ditunjukkan anggota demi memastikan keselesaan pengguna jalan raya sedangkan ia di luar skop kerja mereka.

“Sikap sebegini patut dicontohi dan diteruskan pada masa hadapan. Bukan hanya menjalankan tugas kawalan lalu lintas dan penguatkuasaan, anggota juga perlu ada sikap untuk membantu orang awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 8:58 PM