SUASANA kempen PRK Semenyih. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

DENGAN tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih melangkah ke sesi “separuh masa kedua”, semua empat calon yang memasang impian besar untuk merebut gelaran Yang Berhormat dilihat bertungkus-lumus memperhebatkan kempen untuk meraih sokongan pengundi.

Calon kelihatan bagaikan berlumba ke sana-sini, mengatur pertemuan demi pertemuan, seboleh-bolehnya untuk bersemuka sendiri dengan seramai pengundi yang mungkin, sebelum tiba hari mengundi pada 2 Mac.

Calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali, terus sibuk mengatur pertemuan dengan para pengundi sejak awal pagi lagi, dan kebetulan pula hari ini adalah ulang tahun hari lahir beliau yang ke-30.

Di satu ketika, beliau kelihatan benar-benar terperanjat dan teruja apabila secara tiba-tiba beberapa penduduk yang sedang bersarapan di sebuah restoran di Kampung Baru Semenyih menghadiahkan beliau dengan nyanyian “Selamat Hari Jadi” dalam bahasa Malaysia dan Cina, semuanya kerana risalah kempennya turut menyatakan tarikh lahirnya.

Jurutera yang juga bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Hulu Langat itu berkata, beliau sudah turun meliputi lebih 40 peratus daripada kawasan Dewan Undangan (DUN) berkenaan sehingga kini, manakala jentera PH meliputi 70 peratus daripada kawasan itu.

Pertembungan empat penjuru di kawasan Dewan Undangan Negeri Semenyih itu menyaksikan Muhammad Aiman berentap dengan calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi; calon Parti Sosialis Malaysia Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas , Kuan Chee Heng, yang dikenali ramai dengan panggilan ‘Uncle Kentang’.

PRK Semenyih diadakan susulan kematian penyandang Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari, akibat serangan jantung.

Sementara itu calon BN, Zakaria berkata kempen beliau sudah meliputi sebahagian besar daripada kawasan berkenaan, termasuk bertemu dengan pengundi semasa lawatan di lokasi-lokasi tumpuan ramai seperti pasar, tempat ibadat dan kampung-kampung.

Nik Aziz dan Kuan juga sibuk dengan program kempen, dengan Uncle Kentang menaikkan banyak poster tertera kata-kata: Saya Tanding Yang Berkhidmat, Bukan Tanding Yang Berhormat di salah satu venue kempennya.

Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian yang memperakui bahawa pertandingan di Semenyih yang sengit bertumpu kepada pertembungan antara PH dan BN berkata, PH boleh kembali memenangi kerusi DUN itu sekiranya ia berjaya meraih sokongan pengundi tradisinya dan memastikan tidak berlaku undi protes berdasarkan isu-isu yang dimainkan pencabarnya.

Kemenangan juga bergantung pada sejauh mana jentera digerakkan secara bersepadu dan bagi PH mereka harus memaksimumkan kelebihan selaku kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata PH perlu mengambil perhatian terhadap isu-isu dan sentimen yang timbul sejak ia memenangi kerusi Semenyih dengan majoriti 8,964 undi pada pilihan raya lalu.

Penganalisis dan pakar geostrategis Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Azmi Hassan berkata, BN sudah membangkitkan beberapa isu untuk meraih simpati penduduk di kawasan berkenaan.

“PH perlu bekerja keras dalam tempoh tujuh hari ini untuk meningkatkan sokongan dan memberi penjelasan terhadap apa jua isu yang merisaukan penduduk, dalam usaha mengekalkan kerusi DUN berkenaan.

Pemimpin-pemimpin BERSATU, termasuk Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta lain-lain pemimpin PH seperti Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Naib Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa juga dilihat turut serta, banyak kali turun berkempen untuk Muhammad Aiman dalam PRK ini.

Esok Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dijangka ‘turun’ berkempen sama di sini untuk memberi sokongan kepada Muhammad Aiman dengan pelbagai pertemuan dengan komuniti tempatan sudahpun diatur.

Sementara itu penduduk tempatan Chen Thiam Hee, 34, berkata pengundi Semenyih, terutama golongan muda tidak seharusnya terlalu pantas dalam menghakimi kerajaan PH.

Dia bersetuju dengan pandangan bahawa sukar bagi PH untuk menangani segala masalah yang dihadapi negara dan penduduknya, dalam tempoh baru lapan bulan mentadbir negara.

“Tapi kita memang mengharapkan prestasi kerajaan akan bertambah baik di masa akan datang. Saya juga yakin kerajaan juga akan dapat meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 8:50 PM