Mohamad Noor menanyakan sesuatu kepada individu yang ditahan dalam Ops Sarang Bersepadu sekitar Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang
am@hmetro.com.my


PASANGAN kekasih menetap di inap desa di Teluk Sisek, Kuantan, antara 85 individu ditahan dalam Ops Sarang Bersepadu yang diadakan selama dua hari yang berakhir 3 petang, hari ini.

Dalam operasi sama, lelaki warga emas berusia 68 tahun yang memiliki 10 cucu turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, daripada jumlah itu, seramai 79 individu ditahan kerana positif dadah manakala enam individu lagi didapati memiliki dadah yang berusia antara 16 hingga 68 tahun.

Katanya, daripada 85 individu ditahan,seramai 53 individu bekerja sebagai nelayan dan bakinya adalah buruh dan tidak bekerja.

“Dalam operasi itu, kami turut merampas heroin seberat 2.05 gram dan 4.9 gram syabu.

“Tangkapan turut membabitkan warga asing dari Thailand, Myanmar dan Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, hari ini.

Operasi diketuai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Kuantan turut disertai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuantan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan.

Katanya, kawasan operasi membabitkan pusat bandar, Beserah, Sungai Ular, Cherating, FELDA Bukit Goh, FELDA Bukit Kuantan, FELDA Bukit Sagu, FELDA Panching, jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kemunting, dan Tanjung Lumpur.

Mohamad Noor berkata, tangkapan itu hasil daripada serbuan dari rumah ke rumah dan lokasi sarang penagihan yang dikenal pasti berdasarkan risikan pihaknya.

Katanya, operasi sama akan dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan kegiatan penyalahgunaan dadah dapat dibanteras.

“Oleh itu, kita meminta kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuantan di talian 09-5652133,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 8:44 PM