STADIUM Bandaraya Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my


PERMOHONAN Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa, Pulau Pinang (IPSI) untuk menganjurkan ceramah umum, Dr Zakir Naik ditolak kerana tempahan Stadium Bandaraya Pulau Pinang penuh sehingga Julai.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) sudah membuat tempahan untuk perlawanan bola sepak Liga Premier 2019 bermula bulan ini hingga Julai.

Selain itu katanya, Stadium Bandaraya juga sudah ditempah oleh sekolah, persatuan dan kelab sukan lain bagi pelbagai acara sukan.

“Kerja penyelenggaraan stadium dan padang sudah dijadualkan sebelum permohonan diterima daripada IPSI, justeru MBPP tidak dapat mempertimbangkan permohonan dikemukakan.

“MBPP mempunyai rutin penyelenggaraan padang dan stadium yang perlu dilaksanakan bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik untuk semua aktiviti sukan,” katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial mengenai sepucuk surat daripada MBPP yang dilaporkan menolak permohonan satu pertubuhan untuk menggunakan stadium berkenaan bagi menganjurkan ceramah umum Dr Zakir Naik.

Surat bertarikh 13 Februari yang ditandatangani Pengarah Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Rashidah Jalaludin itu memberitahu pihak berkuasa tempatan terbabit tidak dapat mempertimbang permohonan berkenaan.

Permohonan menyewa stadium itu dibuat IPSI untuk program yang dirancang diadakan antara 8 hingga 11 malam, 14 Jun depan dengan anggaran 10,000 hingga 15,000 peserta.

Sementara itu Presiden IPSI Kamarudin Abdullah kesal dengan tindakan segelintir individu yang cuba mempolitikkan isu berkenaan.

Katanya, menerusi surat daripada MBPP itu tidak bermakna ceramah terbabit tidak boleh dijalankan di negeri ini.

Faktor lokasi dipercayai kurang sesuai menyebabkan permohonan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan kerana fokus utama ialah mahu ia dihadiri semua bangsa dan agama, bukan khusus kepada orang Islam sahaja.

“Mungkin tidak terdapat kekosongan pada tarikh itu, namun saya akan cuba buat permohonan (menganjurkan) di tempat lain pula.

“Pejabat mufti di Perak juga berminat bagi menganjurkan program berkenaan namun belum dapat tarikh yang sesuai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamarudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan berharap orang ramai tidak lagi mensensasikan isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 8:43 PM