SARIPAH Arabiah meriba Ahmad Benyamin. FOTO Rosli Ilham.
Rosli
Ilhamam@hmetro.com.my

“ANAK saya seorang OKU (orang kurang upaya) lembam dan ketika dia mengandung enam bulan iaitu lebih enam tahun lalu, suaminya pergi mengadap Ilahi.

“Derita anak saya itu seakan-akan tidak berkesudahan... apabila melahirkan, anaknya dengan tiada tulang belakang dan mempunyai penyakit kepala besar (spina bifida and hydrocephalus),” kata Saripah Arabiah Che Embong, 58, dari Kampung Jeram Manir, Kuala Terengganu.

Menurutnya, berikutan kekurangan anaknya, Khairulnisa Mohd Yusof, 28, dia terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga cucunya, Ahmad Benyamin Abdullah, 6.

“Untuk menguruskan dirinya sendiri pun tak mampu, bagaimana Khairulnisa hendak menjaga anaknya.

“Mahu tak mahu terpaksalah saya menjaga Benyamin,” katanya ketika ditemui di Program Cakna Anak-anak Permata Syurga (PK4) yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Perwarisan Asnaf Pantai Timur, di Dataran Arena Merdeka di Dungun, hari ini.

Saripah Arabiah berkata, bukan mudah untuknya menjaga dan melayan kerenah Benyamin yang sukar tidur.

“Kadang-kadang sampai awal pagi baru dia dapat tidur dan keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat tidur dengan teratur.

“Setiap empat jam, saya terpaksa memasukkan tiub melalui kemaluannya untuk proses mengeluarkan air kencing,” katanya.

Menurutnya, lebih menyukarkan kehidupannya apabila dia menghidap penyakit darah tinggi dan perlu berjumpa pakar setiap bulan.

“Saya sangat sayangkan Benyamin... dialah tempat saya merawat kesepian dan kalaulah saya yang pergi dahulu, siapa yang akan menjaga cucu saya itu.

“Sebab itu saya sering berdoa kepada Allah seboleh-bolehnya biarlah dia ambil nyawa saya dan Benyamin serentak,” katanya.

Katanya, dia bersyukur selepas mendapat bantuan bulan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pembiayaan susu sebanyak enam tin sebulan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Negeri Terengganu (MAIDAM).

“Saya tidak bekerja, biarpun bantuan itu tidak cukup membiayai perbelanjaan cucu, namun saya bersyukur,” katanya.

Katanya, JKM pernah menyatakan hasrat ingin mengambil Benyamin untuk ditempatkan rumah kebajikan untuk insan senasib, namun dia tidak mengizinkannya.

“Biarlah apa pun yang terjadi, saya tetap akan memelihara cucu saya itu sehingga saya menutup mata,” katanya.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Saripah Arabiah di talian 013-5347669.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 8:06 PM