FOTO hiasan
BERNAMA

SEBAHAGIAN daerah Port Dickson, Seremban dan Rembau akan mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam mulai jam 8 pagi, Selasa ini.

Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) berkata, gangguan bekalan air dijangka pulih pada hari berikutnya disebabkan kerja penggantian, penyelenggaraan dan pencucian Loji Rawatan Air Linggi, Port Dickson.

“Di daerah Seremban, antara kawasan terjejas ialah seluruh Seremban 2, JalanTuankuAntah, Hospital Besar Seremban dan seluruh Senawang.

“Bagi daerah Port Dickson ialah Kampung Permatang Pasir Linggi, Sunggala Gateway, Kampung Sawah Sunggala dan sebahagian kawasan Batu 4 Jalan Pantai,” katanya, hari ini.

Katanya, bagi Rembau pula ialah Ladang Bukit Bertam, Rumah Rakyat Lubok Cina Fasa 1 dan 2, Kampung Nerambai, Kampung Semerbok, Kuala Merbok dan Jalan Padang Kerbau Semerbok.

“Bekalan air akan disambungkan semula secara berperingkat selepas jam 8 pagi hari Rabu.

“Bagaimanapun, beberapa kawasan tinggi dijangka mengalami tempoh pembaikan lebih lama,” katanya.

Pelanggan yang memerlukan bantuan boleh menghubungi SAINS di talian bebas tol 1-800-88-6982.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:51 PM