ORANG ramai beratur menunggu giliran untuk mengemas kini borang BSH. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Kewangan menafikan dakwaan golongan orang kurang upaya (OKU) bujang, ibu bapa tunggal dan warga emas tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

Kementerian menerusi satu kenyataan di Putrajaya hari ini memaklumkan pihaknya kesal dengan laporan media dan dakwaan pihak tidak bertanggungjawab berhubung perkara itu.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan kini sedang menumpukan proses pendaftaran dan kemas kini maklumat untuk program BSH yang memberikan bantuan secara bersasar dan mengutamakan keluarga.

“BSH 2019 juga memberi kadar tambahan mengikut bilangan anak bawah tanggungan.

“Kadar tambahan BSH 2019 sebanyak RM120 diberikan untuk setiap anak berusia 18 tahun ke bawah terhad kepada empat anak, dan bagi anak OKU tidak dihadkan usia.

“Dalam konteks ini, Kementerian Kewangan ingin menjelaskan ibu bapa tunggal dengan tanggungan turut layak dan diberikan BSH pada 2019,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi warga emas yang melebihi usia 60 tahun, mereka juga layak menerima BSH sama ada berstatus berkahwin atau bujang.

“Ia berikutan pengumuman Kementerian Kewangan 20 Februari lalu, tiga juta orang dalam kategori bujang akan menerima bayaran BSH sebanyak RM100 hujung Mac ini.

“Kerajaan akan mengkaji kadar bantuan seterusnya bagi golongan terbabit dan keputusan akan dimuktamadkan oleh Kabinet,” katanya.

Merujuk kepada golongan OKU, Kementerian Kewangan berkata, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu lebih 140,000 OKU dengan bantuan Elaun Pekerja Cacat atau Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja.

“Oleh itu, individu yang dilaporkan sudah pun menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 sebulan dan layak menerima bayaran BSH untuk kategori bujang sebanyak RM100.

“Kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan berkeperluan untuk meringankan beban kos sara hidup berdasarkan kemampuan yang ada, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Sebuah akhbar melaporkan, seorang lelaki OKU kudung kedua-dua belah kaki di samping cacat tangan kiri sejak lahir didakwa tidak memenuhi kelayakan bagi program BSH.

Lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu di bazar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berharap nasib malang mereka mendapat pembelaan kerajaan termasuk jumlah bantuan dikekalkan seperti dahulu.

Selain itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut berkongsi kisah lelaki terbabit menerusi laman sosial Facebook beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:44 PM