Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


BADAN Bertindak Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menolak Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau, Dr S Streram sebagai calon menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu tidak lama lagi.

Pengerusinya, Zuljimmykifli Sahari berkata, penolakan disokong bekas calon, Aisah Lamsah (2008 dan 2013), Husin Haroon (1999), majoriti Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ketua-ketua Adat Perpatih dan ketua komuniti.

Katanya, penolakan disebabkan Streram bukanlah anak jati Rembau mahupun Rantau, kurang dikenali penduduk, tidak bermastautin dan menetap di kawasan berkenaan.

“Dr Streram hanya muncul di Rantau sebaik dibawa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada Disember 2017. Ketika itu dia diuar-uarkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), malah Rafizi menolak tiga calon pilihan termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang, Saparin Musa,” katanya pada sidang media di Seremban 2, di Seremban, hari ini.


ZULJIMMYKIFLI (dua dari kanan) bersama ahli PKR menyatakan sokongan kepada Saparin sebagai calon Dun Rantau. -Foto HAZREEN MOHAMAD

Zuljimmykifli berkata, pihaknya menampilkan semula Saparin untuk dipertimbangkan sebagai calon berikutan beliau tiga kali bergelar AJK Cabang sejak 1998.

“Saparin adalah penyumbang kewangan utama di DUN dan cabang ini. Kami menolak pencalonan Dr Streram termasuk Ketua Cabang, R Tanggam serta isterinya,” katanya.

Menurutnya, pengumuman itu bukanlah menentang Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun sebaliknya menyuarakan hak sebagai anak jati Rembau dan menyuburkan demokrasi.

“Kini terpulang pada pucuk pimpinan dan kami akan memberikan sokongan,” katanya.

Sementara itu, Saparin berkata, jika dipilih sebagai calon dan menang PRK kali ini, beliau mahu memperkasakan semula Adat Perpatih, mewujudkan Balai Adat dan menganjurkan majlis kerapatan adat di Rantau.

“Saya mahu membina pusat komuniti lengkap dengan kemudahan sukan, beri tumpuan isu pendidikan, peluang pekerjaan, perniagaan, menangani masalah banjir dan memajukan pusat rekreasi.

“Kami juga mahu merancakkan inap desa, industri hiliran berasaskan hasil pertanian, mengaktifkan persatuan belia, membaiki padang dan mewujudkan klinik bola sepak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 7:43 PM