Anak buaya spesies tembaga di atas pam air di Tasik Shah Alam hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


SUASANA di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 gempar apabila seekor anak buaya tembaga ditemui di pam air tasik itu hari ini.

Reptilia sepanjang 0.6 meter itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan 9.30 pagi sebelum menghubungi bomba.

Operasi menangkap buaya itu bagaimanapun masih dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Subhaan Mohamed berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan 9.35 pagi.

“Setibanya di lokasi, anggota kita mendapati seekor anak buaya berada di atas pam air di tengah tasik.

“Kita kemudian menyerahkan tugas menangkap reptilia itu kepada PERHILITAN,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri Abd Rahim Othman ketika dihubungi mengesahkan reptilia itu spesies buaya tembaga.

“Siasatan awal mendapati tasik itu tidak bersambung dengan mana-mana sungai berdekatan sekali gus menolak kemungkinan buaya terbabit datang dari sungai.

“Kita percaya ia dilepaskan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya sambil memaklumkan anak buaya itu masih berada dalam tasik berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan pemantauan lanjut dan berusaha menangkap buaya itu.

“Perangkap dan jaring akan dipasang dalam masa terdekat namun ia bergantung kepada kesesuaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 4:02 PM