Orang ramai menunggu di ruang Terminal Feri Kuala Kedah berikutan pembatalan dua trip perjalanan feri hari ini akibat air surut. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


WALAUPUN syarikat Ferry Line membatalkan dua perjalanan pada waktu pagi dari Kuala Kedah ke Langkawi berikutan air surut namun kawasan Terminal Feri Kuala Kedah tetap dipenuhi orang ramai sejak jam 8 pagi hari ini.

Tinjauan mendapati, ada pelancong dari luar Kedah datang lebih awal namun dimaklumkan perjalanan hanya bermula 10.30 pagi.

Pelancong mendakwa maklumat berkaitan pembatalan dua perjalanan feri sejak semalam hingga esok tidak diketahui dan terpaksa menunggu trip lain untuk menaiki feri ke pulau itu.

Sebelum ini syarikat Ferry Line memaklumkan, dua perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi jam 8.30 hingga 9.30 pagi dibatalkan berikutan air surut selama tiga hari bermula semalam hingga esok.

Operasi feri dari Kuala Kedah ke Langkawi dari 7 pagi hingga 7 malam.

Nozuziharliza Abdul Wahab, 40, berkata, dia datang ke Langkawi bersama enam ahli keluarga dari Terengganu untuk melancong namun dimaklumkan feri berlepas jam 1.30 petang.

Katanya, mereka tiba di Terminal Kuala Kedah 9.30 pagi dan dimaklumkan feri yang tiba sejam selepas itu sudah penuh memandangkan dua trip sebelum itu dibatalkan.

“Kami terpaksa tunggu di sini hampir dua jam sehingga feri yang sepatutnya kami naiki sampai hingga ada ahli keluarga sempat terlelap di sini.

“Namun saya tak tahu mengenai kejadian air surut hingga mengakibatkan perjalanan feri terjejas,” katanya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM) Kota Setar, Noorliana Mansor berkata, dia bersama 20 rakannya sepatutnya menaiki feri lebih awal sebaik tiba di situ 10 pagi.

Katanya, mereka ada urusan sempena Perasmian Pejabat APM Langkawi Ahad ini dan perlu menghadiri latihan raptai hari ini.

“Namun kami tak kisah kalau berhimpit dalam feri disebabkan orang ramai disebabkan masalah air surut pagi tadi kerana yang penting kami selamat tiba di Langkawi,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Operasi Kaunter Feri Line Kuala Kedah, Ahmad Azizan Aziz berkata, sebelum ini pihaknya sudah memaklumkan mengenai pembatalan dua perjalanan feri dari Kuala Kedah ke Langkawi melalui Facebook, kaunter tiket dan media untuk pengetahuan orang ramai.

Katanya, pembatalan itu disebabkan paras air surut sehingga 0.2 meter untuk mengelakkan feri terkandas.

“Kejadian air surut ini akan berakhir esok dan dua trip perjalanan esok juga dibatalkan 8.30 pagi hingga 9.30 pagi dan trip feri bermula jam 10.30 pagi sehingga ke 7 malam.

“Pada hari biasa kami melakukan 10 trip perjalanan dan keadaan kembali seperti biasa Ahad ini,” katanya.

Ahmad Azizan berkata, kejadian air surut itu turut berlaku di Terminal Feri Kuala Perlis yang turut menyebabkan perjalanan dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 3:30 PM