Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki Bangladesh yang menoreh muka teman wanitanya menggunakan pisau, minggu lalu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, Hakim Mabel S Muttiah menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh jatuh hukum terhadap tertuduh, Md Saidul Islam, 21, yang bekerja sebagai pembantu kedai telefon.

Ia berdasarkan permohonan peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh untuk tarikh lain bagi menyediakan mitigasi.

Ketika prosiding berlangsung, tertuduh yang memakai baju-T berkolar hanya diam dan menundukkan kepalanya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mendatangkan kecederaan parah ke atas Nur Zawati Zainal Abidin, 24, iaitu penolong pengurus sebuah kedai telefon di bahagian muka dengan menggunakan senjata pisau.

Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan lif tingkat bawah Tropicana City Mall, Petaling Jaya pada 6.30 petang, 7 Februari lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda dan sebatan, sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas faktor dia warga asing.

Akhbar sebelum ini melaporkan, mangsa yang juga rakan sekerja tertuduh mengalami luka hampir lima sentimeter bermula daripada bibir hingga ke pipi kanan selepas mukanya ditoreh lelaki itu menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, susulan kejadian mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan suspek.

Berita berkaitan

'Cinta luka bertoreh muka'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 1:22 PM