Bekas penagih melakukan pelbagai aktiviti bagi mengelak terjerumus semula. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


EMPAT puluh lima bekas penagih dadah menyertai aktiviti gotong-royong bersama penduduk kampung membersihkan dewan serta masjid di sekitar Kampung Delek, Klang hari ini bagi mengekang masalah penagihan dadah.

Bekas penagih itu adalah Orang Kena Pengawasan (OKP) di bawah seliaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK ) Klang.

OKP yang hanya mahu dikenali sebagai Abu berkata, aktiviti seperti itu membantunya mengisi masa lapang selain mengelak terjerumus ke dalam najis dadah semula.

Dia yang berusia 19 tahun ditahan Mac lalu ketika menghadiri konsert di Serdang.

“Saya ambil ganja Februari tahun lalu, walaupun ambil dalam tempoh sebulan namun saya akui ketagihan itu susah untuk dikawal.

“Ada ketika memang terfikir nak ambil tapi bila fikir kesilapan lalu, saya batalkan niat jadi saya banyakkan buat aktiviti dengan membantu ibu di rumah.

“Setiap bulan kami diwajibkan hadir ke pusat AADK Klang untuk mengambil ujian air kencing dan lakukan pelbagai aktiviti di situ, AADK banyak membantu,” katanya.

Abu berkata, dia sudah mempunyai tiga cawangan gerai burger di sekitar Selangor hasil perkongsian dengan rakan dan mahu membuktikan bahawa bekas penagih sepertinya juga boleh berjaya.

Sementara itu, Ketua Daerah AADK Klang, Baharuddin Ahmad berkata, mereka adalah OKP yang ditetapkan mahkamah di bawah kendaliannya.

Beliau berkata, bekas penagih perlu diawasi oleh AADK selama tiga tahun seperti ditetapkan mahkamah selepas menjalani hukuman di penjara.

“Aktiviti seperti ini penting bagi mendekatkan OKP ini dengan masyarakat.

“Kita tidak mahu OKP ini hanya dengar ceramah serta kaunseling di pusat kita semata-mata sebaliknya mahu mereka buat aktiviti yang mendatangkan faedah.

“Oleh itu, kita bekerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk buat program seperti ini supaya penerimaan masyarakat positif kepada bekas penagih ini seterusnya membolehkan mereka menjalani kehidupan tanpa gangguan emosi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:16 PM