ANTARA laporan portal Harian Metro mengenai tragedi enam bomba lemas Oktober tahun lalu.
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@bh.com.my


KERAJAAN akan merangka satu modul latihan baharu membabitkan kaedah menyelamat di kawasan ‘low head dam’ (empangan tembok rendah) kepada anggota bomba seluruh negara.

Langkah itu bagi memastikan insiden enam anggota bomba maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Oktober tahun lalu, tidak berulang.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, hasil siasatan jawatankuasa bebas bagi menyiasat insiden itu, mendapati anggota bomba di negara ini belum dilengkapkan dengan kaedah menyelamat di kawasan berkenaan.

“Bagi kawasan seperti empangan besar, anggota kita sudah cukup mahir berbeza bagi ‘low head dam’.

“Kebiasaannya paras air tidak melebihi kepala, dan situasinya berbeza kerana aliran air yang turun membentuk pusaran dan kekuatannya sukar dijangka, sekali gus memerlukan latihan berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasminya ke Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Azmi Osman.

Dalam kejadian 3 Oktober lalu, enam anggota bomba iaitu empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam, lemas ketika operasi cari dan selamat remaja, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, 17, yang hilang di lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong.

Susulan itu, satu jawatankuasa khas dipengerusikan golongan profesional termasuk kalangan ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), diwujudkan bagi mengkaji dan mengenal pasti punca sebenar kejadian, seterusnya mencadangkan langkah penambahbaikan supaya insiden sebegini tidak berulang lagi di masa hadapan.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, modul latihan itu akan dirangka dalam masa terdekat, dengan menjadikan modul seumpamanya di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh.

Ditanya jangkaan anggota bomba negara ini akan mula dilatih dan dilengkapkan dengan kaedah menyelamat baharu itu, Zuraida berkata, ia akan bermula secepat mungkin, selepas beberapa proses dan langkah awalan dilaksanakan.

“Langkah pertama adalah mendapatkan laporan berapa jumlah ‘low head dam’ di seluruh negara, dan pastikan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) meletak papan tanda kawasan larangan di semua kawasan ini.

“Langkah seterusnya, saya akan pastikan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran melakukan penyelenggaraan, kemudian maklumkan kepada orang awam yang ‘low head dam’ ini kawasan larangan dan bukan tempat awam.

“Selepas semua langkah itu dilaksanakan, kita akan mulakan latihan kaedah menyelamat di kawasan inu kepada anggota bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 10:04 PM