GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 16 kes penipuan dalam talian dilaporkan berlaku di Port Dickson dalam tempoh kurang dua bulan bagi tahun ini membabitkan kerugian RM99,533.06.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, daripada jumlah kes itu, dua laporan membabitkan kes penipuan pembelian dalam talian, satu kes pakej pelancongan manakala selebihnya penipuan pelbagai kategori.

Menurutnya, penipuan pakej pelancongan antara kes terbaru dikesan dengan seorang wanita mendakwa diperdaya dalam urusan pembelian pakej pelancongan ke Eropah selepas melihat iklan itu di laman sosial Facebook.

“Kejadian ini bermula sejak tahun lalu apabila suspek memperdaya mangsa dengan menawarkan pakej pelancongan dengan harga murah. Mangsa dan dua rakannya berminat dan membuat pembayaran sebanyak sembilan kali transaksi berjumlah RM12,280 ke dalam akaun syarikat.

“Kemudian mangsa dimaklumkan syarikat itu kini ditutup,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, walaupun kes penipuan dalam talian tidak sebesar jumlah kerugian kes bersindiket seperti Macau Scam dan African Scam, tetapi adalah menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan masyarakat tidak menjadi mangsa penipuan sebegini.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengamalkan langkah pencegahan dengan membuat semakan identiti penjual termasuk alamat, nombor telefon, akaun bank, dan sebagainya sebelum menjalankan urusan pembelian.

Selain itu, katanya, melihat testimoni pembeli lain yang pernah berurusan dengan penjual juga adalah antara langkah keselamatan yang boleh diambil selain menyimpan bukti e-mail, perbualan di laman sosial dan resit pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:50 PM