MOHAMAD Shuid bersama isteri serta dua anak dihadapan pondok didiami mereka di Kampung Seniyek, Kupang, Baling. FOTO Safuri Kamarudin.
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


“SAYA tiada pilihan dan terpaksa tinggal di pondok kerana kesempitan hidup. Saya sudah berusaha untuk mengubah kehidupan ini, tetapi ia tidak mencukupi untuk membina sebuah rumah lebih selesa.”

Begitulah luahan buruh, Mohamad Shudi Che Ahmad, 34, yang terpaksa meneruskan kehidupan bersama isteri dan dua anaknya di pondok kecil di Kampung Seniyek, Kupang, Baling.

Dia berkata, walaupun masih muda, kesempitan hidup membataskan segala perancangannya untuk memberi keselesaan kepada keluarga.

“Bukan saya tidak berusaha dan bekerja tetapi pendapatan yang ada sekadar untuk keperluan harian sahaja.

“Walaupun ada menyimpan sedikit wang serta berjimat cermat untuk membina rumah, tetapi tetap tidak mencukupi dan saya hanya mampu untuk mendirikan tiang di tepi pondok sedia ada ini sahaja,” katanya ketika ditemui pada lawatan Pegawai Khas Penyelaras Parlimen Baling, Mohamad Zuki Awang, hari ini.

Katanya, dia tinggal di pondok diperbuat daripada kayu hutan dan bahan terbuang untuk berteduh daripada panas dan hujan.

Katanya, pondok itulah yang menjadi tempat berteduh bagi dirinya, isteri Masitoh Jahaya, 30, serta dua anaknya Mohamad Shafiy Iman dan dan Nurul Syafira Imani yang berusia tiga dan satu tahun sejak dua tahun lalu.

“Setiap kali hujan, ia pasti bocor pada setiap penjuru dan kami terpaksa beralih tempat tidur kerana atap rumbia sudah reput.

“Malah, dinding rumah dan lantai ini digunakan daripada papan lapis terbuang. Pondok kecil ini tempat kami untuk tidur dan memasak,” katanya.

Mohamad Shuid berkata, dia bekerja sebagai buruh di ladang getah berdekatan dengan Gerik, Perak dan terpaksa berulang alik dengan motosikal sejauh 40 kilometer setiap hari.

“Saya mempunyai pendapatan tidak tetap dan ia bergantung kepada hari boleh berkerja.

“Menerusi pendapatan itulah saya menyara keluarga dan membayar bil elektrik kerana bekalan air menggunakan ihsan daripada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada pihak sudi membantu menyiapkan rumahnya dengan memberi sumbangan atap dan bahan binaan untuk membina rumah.

“Kalau ada bahan binaan bolehlah saya membuat sendiri rumah itu bagi memastikan keluarga dapat hidup lebih selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 9:10 PM