ABDUL Rahim (tengah) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah. FOTO Rasul Azli Samad
Mohd Hilmie Hussin
hilmie@nstp.com.my


PESARA, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini, terhadap tuduhan menawarkan pembekalan lima pekerja asing yang tidak wujud, kira-kira 2 tahun lalu.

Tertuduh Abdul Rahim Mohamad Ibrahim, 64, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norma Ismail, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Joyce Tsee Chin Chin, 30, dengan menawarkan urusan pembekalan pekerja asing yang tidak wujud hingga mendorong mangsa membuat bayaran cek RM14,000.

Wang terbabit kemudian didakwa ditunaikan tertuduh dalam akaun Public Bank miliknya. Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 1 Disember 2017, di Old Town Bangunan AEON Bandaraya, Melaka.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin, mencadangkan jaminan RM8,000.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Bela Sheikh Ikhzan Sheikh merayu, tertuduh dibenarkan jaminan rendah kerana tidak lagi berkerja selain sudah tua.

“Tertuduh seorang pesara, mempunyai lima anak dan perbelanjaan hariannya turut ditanggung anak-anak selain menghidap sakit kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung yang memerlukan rawatan bulanan,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norma kemudian menawarkan tertuduh jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 7:17 PM