FOTO Hiasan
Kandau Sidi
kandau@nstp.com.my


JUMLAH kekerapan penerbangan menghubungkan beberapa destinasi di Semenanjung ke Sarawak perlu ditambah terutama apabila tiba musim perayaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan ‘anak Sarawak’ yang bekerja di Semenanjung pulang ke kampung masing-masing untuk beraya.

Malah, cadangan itu juga, katanya, mampu mendokong usaha integrasi nasional antara Semenanjung dan Sarawak, begitu juga sebaliknya.

“Keputusan AirAsia, Penerbangan Malaysia (MAS) dan Malindo Air meningkatkan kekerapan penerbangan mereka ke Sarawak sepanjang tempoh dua minggu Tahun Baharu Cina perlu dipuji.

“Keseluruhannya, sepanjang musim perayaan itu, sebanyak 60,000 tempat duduk disediakan ketiga-tiga syaikat penerbangan itu yang menghubungkan Semenanjung dan Sarawak. Kita berharap usaha ini dapat diteruskan pada musim perayaan lain,” katanya dalam satu kenyataan di Miri, semalam.

Ting berkata, langkah itu bertepatan dengan inisiatif Pakatan Harapan (PH) menggalakkan membolehkan rakyat Sarawak di Semenanjung pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan menerusi tawaran harga tambang rendah.

“Saya berharap keputusan sama ini dapat dilaksanakan ketika perayaan Gawai Dayak, Hari Raya Puasa dan Krismas akan datang,” katanya.

Katanya, ramai ‘anak Sarawak’ yang bekerja di luar negeri ini dan sentiasa pulang ke kampung halaman apabila tiba musim perayaan.

“Ia bertepatan dengan usaha kerajaan merapatkan hubungan kekeluargaan antara kaum di seluruh negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:59 PM