Gambar Hiasan
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


PEGUAM Negara Tommy Thomas menjelaskan kes di hadapan semua mahkamah akan berjalan seperti biasa walaupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan salah laku hakim sedang mengendalikan siasatannya.

Tommy dalam kenyataan hari ini berkata, kesemua kes di semua peringkat mahkamah atasan dan rendah akan terus didengar dan diputuskan oleh pihak mahkamah.

Menurutnya, sebarang permintaan bagi penangguhan sebarang kes hendaklah dibuat oleh pihak terbabit kepada mahkamah yang berkenaan.

“Sememangnya menjadi suatu fungsi kehakiman yang lazim untuk seorang hakim memutuskan sama ada mana-mana penangguhan seharusnya ditolak atau dibenarkan.

“Penubuhan RCI tidak bermaksud penangguhan kesemua kes secara automatik atau menyeluruh akan berlaku.

“Harus diingat penelitian terkini ke atas cabang kehakiman kerajaan bukanlah pertama kali berlaku dalam sejarah kita,” katanya.

Katanya, pada 1988, dua tribunal ditubuhkan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan untuk menyiasat dakwaan salah laku kehakiman terhadap enam hakim Mahkamah Agung.

Malah, pada 2007, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video VK Lingam turut ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam proses lantikan kehakiman oleh sesetengah hakim negara ini.

Tommy berkata, dalam kesemua keadaan ini, urusan lazim di kesemua mahkamah berjalan seperti biasa, dan tiada sebarang penangguhan diberikan oleh pihak mahkamah.

“Hakim dan peguam bertanggungjawab untuk memastikan proses pengadilan tidak terganggu.

“Hujahan bahawa prosiding mahkamah dan proses pengadilan seharusnya ditangguhkan sementara menunggu selesainya siasatan oleh RCI tidak mempunyai sebarang asas dari segi fakta mahupun undang-undang.

“Memandangkan RCI bakal ditubuhkan tidak lama lagi, dan selepas itu akan memulakan pertimbangannya, diharapkan agar spekulasi orang ramai berhubung perkara ini dapat dihentikan,” katanya.

Katanya, RCI seharusnya dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawabnya yang penting dengan cara tenang dan terkawal.

Kabinet sebelum ini meluluskan penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan terbuka Badan Kehakiman membabitkan salah laku hakim mahkamah rayuan dan persekutuan.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak supaya suruhanjaya siasatan ditubuhkan berikutan pendedahan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Persekutuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Ia termasuk campur tangan dalam keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh di Mahkamah Rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:35 PM