GAMBAR hiasan
BERNAMA

POLIS menahan tiga warga Thailand termasuk pasangan suami isteri dan merampas 398 kilogram (kg) daun ketum dipercayai cuba dibawa masuk ke Thailand melalui pintu sempadan Malaysia-Thailand, berdekatan Bukit Bunga, Jeli, dalam dua sekatan jalan raya sekitar Kampung Batu Melintang, sejak semalam.

Pemangku Ketua Polis Dearah Jeli Asisten Superintendan Nik Ahmad Kamil Che Ahmad berkata, dalam tangkapan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas 179 kilogram daun ketum bernilai RM5,345, semalam.

“Pasangan suami isteri itu pula ditahan bersama 219 kg daun ketum bernilai RM6,750 dalam sekatan jalan raya hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli, hari ini.

Beliau berkata, polis percaya bekalan daun ketum itu diperoleh dari Grik, Perak dan di Sik, Kedah lalu cuba dibawa masuk ketiga-tiga suspek berusia 30 dan 50 tahun ke Narathiwat berikutan pemintaan tinggi di daerah itu.

Menurutnya, ini kali pertama suspek dikesan menyembunyikan daun ketum dalam pelbagai kompenan kereta diubahsuai bagi mengaburi mata pihak berkuasa kerana biasanya mereka akan meletakkan bahan yang cuba diseludup keluar negara itu dalam kereta atau bonet.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan semua suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:33 PM