T Narenasagaran (tengah) menunjukkan antara barangan kes curi kenderaan mewah. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


BEKERJA sebagai mekanik, jurujual kereta terpakai dan juga ejen penarik kereta.

Itu antara pekerjaan ahli sindiket yang aktif mencuri kenderaan mewah di Pulau Pinang dan Johor dengan mereka dikesan menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi menjalankan kegiatan jahat itu.

Bagaimanapun, perbuatan mereka berjaya dihidu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang yang melakukan serbuan dan menahan tujuh ahli sindiket termasuk seorang wanita dalam Op Lejang di beberapa lokasi sekitar Kedah, Perlis dan Perak sejak 1 Februari lalu.

Sindiket berkenaan dikesan mencuri kenderaan mewah jenis Toyota yang diletakkan di tepi jalan sebelum menjualnya di negara jiran antara RM18,000 hingga RM42,000 sebuah.

Mereka juga bijak menggunakan peralatan elektronik canggih yang dibeli secara dalam talian dan belajar cara mencuri di laman sosial.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, semua suspek warga tempatan yang ditahan itu berusia antara 25 hingga 48 tahun.

“Siasatan mendapati, geng ini terbabit mencuri 30 kenderaan mewah sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Johor, menggunakan alat berkomputer untuk menggodam sistem keselamatan kenderaan berkenaan.

“Kumpulan ini menggunakan alat ‘toy two track’ untuk membuka pintu sebelum menggodam sistem data kenderaan menggunakan ‘key programmer’ yang disambung kepada soket untuk menghidupkan enjin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Narenasagaran berkata, susulan tangkapan itu pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa dari negara jiran bagi membawa pulang semua kenderaan curi terbabit dan selain mencuri sindiket itu juga dikesan membuat cukai jalan palsu.

“Dalam serbuan itu, kita merampas tiga kenderaan, beberapa peralatan digunakan untuk mencuri, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, dua komputer riba dan beberapa cukai jalan palsu.

“Dengan penahanan ini, kita berjaya selesaikan 11 kes curi kenderaan masing-masing sembilan di Pulau Pinang dan dua di Johor,” katanya.

Menurutnya, semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, mereka ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1), Seksyen 411 atau Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor, memiliki atau menyimpan barang curi atau melupuskan barang curi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:24 PM