MUHAMMAD Aiman dan isteri, Nurul Filzah Bakhtiar bertemu Norhayati Mahmud yang menghidap kanser ketika membuat tinjauan mesra di rumah PKNS Semenyih Jaya. FOTO Asyraf Hamzah
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@hmetro.com.my


CALON Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali berjanji menjadi pemimpin yang mudah didekati sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Menurutnya, beliau juga tidak mahu mewujudkan jurang yang besar antara pemimpin dan rakyat sehingga mereka sukar berinteraksi dengan pemimpin untuk meluahkan masalah dihadapi.

“Contohnya semasa berkempen, ada yang memanggil saya tuan, tapi saya beritahu mereka panggil sahaja Aiman.

“Saya mahu rakyat rasa selesa dan mudah untuk mendekati saya bukannya mewujudkan rasa kekok atau jurang dengan panggilan sebegitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada kempen tinjauan mesra rakyat di Taman Semenyih Indah, Semenyih, hari ini.

Ditanya bagaimanakah sambutan diterima dalam kempen yang memasuki hari ke enam, beliau berkata, kehadirannya disambut baik pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya yakin, PH boleh menang dan selepas itu saya akan menjadi seorang Yang Berkhidmat (YB) untuk masyarakat.

“Setiap masalah yang dibangkitkan kita akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:05 PM