GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


TIMBALAN Pengarah sebuah agensi kerajaan di Kedah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu hari ini.

Dalam serbuan 1.45 tengah hari itu, lelaki berusia 56 tahun dan pernah berkhidmat di Pulau Pinang ditahan di pejabat agensi berkenaan di Kedah.

Sumber berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes tuntutan palsu membabitkan kerja pembekalan dan perkhidmatan pakaian seragam dianggarkan bernilai lebih RM27,000.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu kepada bahagian pentadbiran dan kewangan agensi berkenaan sedangkan pembekalan pakaian seragam tidak dibuat sepenuhnya pada 2016.

“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Pulau Pinang esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 6:01 PM