ANTARA lori ditahan ketika operasi JPJ di Pasir Gudang, baru-baru ini. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KELICIKAN mengenai ‘laluan tikus’ dan menghidu setiap inci pergerakan pihak berkuasa menyebabkan khidmat tonto masih digunakan pengusaha lori terutama yang terbabit dalam industri perlombongan di Batu Pahat dan Pengerang.

Perkara itu didedahkan pasukan siasatan dan risikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menerusi hasil intipan di lokasi panas dikenal pasti terdapat aktiviti perlombongan bauksit dan projek mega sejak setahun lalu.

Timbalan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, pihaknya mengesan lebih 10 tonto menggunakan kenderaan pacuan empat roda diupah pemilik lori bagi melindungi kawasan perlombongan.

“Meskipun tonto di Johor tidak banyak, namun khidmat golongan terbabit dalam menjadi mata dan telinga kepada pengusaha lori yang terbabit dalam aktiviti mengangkut bahan perlombongan ini masih berlaku.

“Buktinya, hasil siasatan dan risikan JPJ negeri menemui modus operandi itu di Batu Pahat dan Pengerang dengan lebih 10 tonto diupah untuk menjalankan kerja ‘spy’,” katanya pada sidang media di JPJ Johor di Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, semua kenderaan berat itu sudah dikenalpasti berdasarkan nombor kenderaan dikumpulkan sejak setahun lalu.

“Siasatan mendapati, mereka pakar mengenai lorong tikus yang terdapat di Batu Pahat dan Pengerang, sekali gus membolehkan syarikat lori membawa bahan perlombongan melalui kawasan itu.

“Jadi dengan adanya orang upahan membolehkan syarikat lori melakukan aktivitinya dengan mudah dan membawa bahan perlombongan keluar dari lokasi,” katanya.

Katanya, pihaknya juga sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum mengambil tindakan terhadap kegiatan tonto yang melindungi pemilik kenderaan berat di kawasan itu.

Sementara itu, Azmil berkata, sembilan saman dikeluarkan terhadap pemilik lori selepas dikesan melakukan pengubahsuaian pada 19 Februari lalu.

Katanya, JPJ negeri juga mengeluarkan 1,300 saman menerusi 19,605 pemeriksaan terhadap kenderaan dalam Operasi Tahun Baharu Cina 2019 bermula 29 Januari hingga 12 Februari lalu.

“Bagi Ops Khas Motosikal yang dilaksanakan serentak, sebanyak 2,039 saman dikeluarkan membabitkan 878 saman kerana tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh (448 saman) manakala tiga motosikal disita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 4:39 PM