PETUGAS media memenuhi kawasan rumah Muhammad Hafiz yang maut dipercayai akibat didera bapa tirinya di Kampung Batu Balik, Pekan. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


“DIA seorang yang pendiam dan kurang bergaul dengan penduduk setempat, malah dia jarang membawa anak-anaknya keluar.

“Kami hanya mengetahui mengenai kejadian itu (dera) melalui (aplikasi) WhatsApp malam tadi dan tidak menyangka dia sanggup melakukan perkara itu,” kata penduduk Kampung Batu Balik, Muhamed Haekal Muhamed Nasrudin, 23.

Dia berkata, lelaki yang didakwa mendera anak tirinya itu sememangnya berasal dari kampung berkenaan namun kurang bercampur dengan masyarakat sekeliling menyebabkan mereka tidak tahu keadaan keluarga itu.

Katanya, lelaki berusia 56 tahun itu berkahwin dengan ibu mangsa kira-kira empat tahun lalu.

“Sebelum ini, saya memang berkawan rapat dengan anak-anaknya (hasil perkahwinan terdahulu) kerana membesar bersama, namun sejak dia berpisah dengan isteri pertamanya, hubungan kami terputus.

“Namun saya pernah diberitahu oleh anaknya bahawa ayahnya seorang yang panas baran dan pernah beberapa kali ‘naik tangan’,” katanya ketika ditemui di Kuantan, hari ini.

Media hari ini melaporkan seorang kanak-kanak, Muhammad Hafiz Abdullah, 5, maut dipercayai didera bapa tirinya semalam.

Kanak-kanak itu meninggal dunia di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, Pekan selepas dibawa oleh ibu dan bapa tirinya pada 4 petang kerana tidak sedarkan diri.

Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan cedera akibat didera iaitu kesan lebam pada bahagian di dada, kesan melecur dipercayai akibat dicucuh dengan api rokok pada tapak kaki dan luka kecil pada bahagian kening kanan.

Seorang lagi penduduk, Rasmani Sidek, 53, berkata, walaupun dia mempunyai pertalian saudara dengan lelaki berkenaan, dia tidak mengetahui secara mendalam mengenai kehidupannya.

“Saya tidak tahu bagaimana hubungan lelaki itu dengan anak tirinya kerana mangsa jarang dibawa keluar...jika terserempak di mana-mana pun hanya dia dan isterinya sahaja.

“Kami tidak menjangka kejadian dera ini boleh berlaku, jika kami tahu awal sudah pasti dapat mencegahnya dengan menegur perlakuan dia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, Datuk Othman Nanyan memaklumkan bapa tiri serta ibu mangsa yang berusia 25 tahun direman selama tujuh hari sehingga 25 Februari ini untuk siasatan lanjut.

Tinjauan di rumah mangsa mendapati rumah berkenaan berkunci dan kosong manakala jarak antara rumah jiran kira-kira 100 meter.

Berita berkaitan

'Budak didera sampai mati'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 3:58 PM