Dr Sahruddin menunjukkan laman web rasmi bagi mendaftar Kad Sihat Johor. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KERAJAAN negeri akan mengedarkan 14,000 Kad Sihat Johor kepada golongan isi rumah B40 bagi membolehkan mereka mendapatkan rawatan di 248 klinik panel berdaftar di seluruh negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr Sahrudin Jamal berkata, penyediaan kad itu bagi membantu masyarakat negeri itu mendapatkan rawatan segera di klinik panel.

Katanya, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai had maksimum 250 pemohon yang ditawarkan mengikut kategori Keluarga atau Individu.

“Bagi keluarga, setiap kad bernilai RM500 setahun manakala individu hadnya sehingga RM200 membabitkan penggunaan sehingga RM50 bagi setiap sesi rawatan di 248 klinik panel di negeri ini.

“Bagi tujuan mendapatkan kad, pemohon boleh memuat turun borang Kad Sihat Johor secara atas talian di www.sihatjohor.com.my sebelum diserahkan secara manual ke Pejabat DUN masing-masing untuk diproses,” katanya pada sidang media di Kota Iskandar hari ini.

Katanya, semua 3,754 penerima bantuan eKasih perlu mengemukakan permohonan baru bagi memudahkan urusan ke klinik.

“Ini kerana ada di antara golongan itu masih tidak menuntut kad berkenaan dan permohonan baru akan mempermudahkan proses mendapatkan rawatan kesihatan di klinik panel,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap semua pegawai di DUN peka dengan perkara itu dan telus dalam membantu golongan B40 mendapatkan Kad Sihat Johor.

“Mereka ini menjadi barisan hadapan, selain faham dan kenal dengan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Pemohon dan ahli keluarga perlu membawa salinan kad pengenalan dan borang permohonan.

“Mereka yang tidak mempunyai penyata gaji perlu merujuk atau mendapat pengesahan daripada penghulu ataupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 8:21 PM