BAUKSIT di ladang kelapa sawit sekitar Felda Bukit Goh. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Kesihatan memberi jaminan akan terus memantau tahap kesihatan penduduk di kawasan perlombongan bauksit di Pahang berdasarkan statistik laporan yang diperoleh kelak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemantauan itu dilakukan menerusi kemudahan kesihatan yang ada di sana termasuk klinik kesihatan dan hospital.

“Kita bertanggungjawab dalam soal ini untuk memastikan tahap kesihatan penduduk dalam keadaan baik.

“Justeru, kita memantau melalui statistik kes seperti jangkitan respiratori di klinik sebagai contoh adakah terdapat peningkatan ketara untuk masalah itu, selain pihak berkuasa memantau kualiti air dan buah-buahan segar untuk (kewujudan) logam berat,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, langkah berkenaan bagi memastikan penduduk yang terbabit tidak menderita susulan perlombongan bauksit berkenaan.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, isu berkenaan bauksit dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

“Perkara itu dibincangkan seperti biasa, kita di dalam jemaah tidak bekerja secara sendiri.

“Kita mendapat pandangan misalnya daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan sebagainya,” katanya.

Berhubung isu sebuah hospital swasta di Sungai Petani dikaitkan dengan iklan tawaran biasiswa bagi pelajar kejururawatan yang bersifat perkauman, beliau berharap kejadian seperti itu tidak berulang kembali.

“Mereka sudah membuat permohonan maaf secara terbuka dan kita berharap ia tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, beliau menafikan pihak farmasi tidak terbabit dalam perancangan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40).

“Kita berhubung, berbincang dan mengadakan ‘town hall’ dengan pihak berkaitan.

“Kita masih ada masa untuk berhubung lebih lanjut mengenai pelaksanaan PeKa B40 termasuk membabitkan peranan farmasi, pengamal perubatan am dan kita mahu ia dilaksanakan semua penyedia perkhidmatan kesihatan di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 8:08 PM