Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


TIGA pelacur dipercayai wanita warga Thailand sanggup membahayakan diri keluar melalui tingkap di tingkat satu sebuah bangunan di Setapak, Kuala Lumpur dalam usaha melarikan diri selepas premis rumah urut itu diserbu, hari ini.

Seorang daripadanya cedera selepas nekad terjun dari bangunan itu sebelum melarikan diri, manakala dua lagi wanita berjaya dicekup susulan tindakan pantas pihak berkuasa.

Difahamkan, rata-rata premis rumah urut di sekitar Platinum Walk, Setapak itu terus menjadi lokasi kegiatan pelacuran dan mereka didapati tidak serik mengulangi kegiatan itu walaupun sudah diserbu beberapa kali.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Azman Mahmood berkata, operasi Ops Bah 2.0 yang bermula 1 tengah hari itu menggempur 13 pusat urut yang dipercayai menawarkan khidmat seks.

Menurutnya, operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

“Semua premis berkenaan tidak memiliki lesen dan siasatan juga mendapati mereka dipercayai menawarkan khidmat tidak bermoral (seks) dengan bayaran RM180.

“Hasil serbuan itu, seramai 32 wanita warga asing dari Thailand, Vietnam dan Kemboja ditahan,” kata kepada media dalam sidang media selepas tamat operasi itu, hari ini.


Antara wanita ditahan terbabit pelacuran. FOTO Ihsan Imigresen.

Azman berkata, pihaknya mendapati kebanyakan premis terbabit beroperasi sejak 2017 dan sudah beberapa kali dijalankan, namun masih berdegil menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Kali ini, kita lumpuhkan sepenuhnya operasi premis itu dengan memotong bekalan air mereka.

“DBKL hanya akan membenarkan penyambungan semula bekalan air selepas ada penyewa baharu di premis berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew yang turut hadir dalam operasi itu berkata, pihaknya kesal tidak pernah menerima aduan awam mengenai kewujudan aktiviti maksiat di kawasan terbabit.

“Saya hairan kerana tidak pernah terima sebarang aduan. Saya juga kesal hari ini kerana pihak berkuasa tidak dapat menahan pemilik premis terbabit, saya bimbang masalah berbangkit akan berulang jika mereka tidak dapat dikesan,” katanya


Azman (kanan) ketika Ops Bah 2.0 di sebuah rumah urut di Setapak. FOTO Hafiz Sohaimi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 7:13 PM