Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


TIGA lelaki berusia 36 hingga 40 tahun yang juga tokan dadah dikesan menggunakan penimbang digital menyerupai kotak rokok bagi mengelak aktiviti mereka dikesan polis.

Namun, usaha penjenayah itu gagal selepas mereka diberkas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Rusa, Balik Pulau, 3 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, penimbang menyerupai kotak rokok itu sering digunakan pengedar dadah bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa kerana ia seakan-akan kotak rokok.

“Penimbang kecil itu sememangnya sentiasa dibawa pengedar bagi menimbang dadah dan membungkusnya dalam peket kecil.

“Ia adalah ‘kit’ wajib seorang pengedar dadah jalanan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Anbalagan berkata, dalam serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Bayan Lepas dan Bahagian Narkotik IPD Barat Daya itu, pihaknya menahan ketiga-tiga suspek ketika mereka sedang khayal dadah di ruang tamu rumah.

Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui sembilan peket plastik lutsinar berisi dadah heroin seberat 233.70 gram (g) bersama mereka.

“Polis turut menemui empat peket plastik lutsinar berisi bahan kristal dipercayai syabu yang dianggarkan seberat 16.30g.

“Selain itu, polis merampas peralatan menghisap dadah daripada suspek dan ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiganya positif dadah,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun bersama 28.5g heroin dalam serbuan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung pada 9.30 malam kelmarin.

Anbalagan berkata, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan berasal dari Jitra, Kedah.

“Nilai rampasan dadah bagi dua serbuan yang dilakukan semalam dan kelmarin ialah RM12,933.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:28 PM
ANBALAGAN (duduk tengah) menunjukkan penimbang digital menyerupai kotak rokok serta dadah dirampas pada sidang media di IPD Barat Daya, Balik Pulau, hari ini. FOTO Mikail Ong.