LAPORAN portal berita Harian Metro, mengenai kehilangan Ustazah Nur Farhana.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


USTAZAH Nur Farhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang di Balik Pulau 14 Januari lalu sebelum dijumpai di Kuala Kangsar empat hari kemudian akan ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Desa Murni, Sungai Dua, Butterworth.

Sumber berkata, arahan itu sepatutnya berkuatkuasa 18 Februari lalu namun mungkin ditangguhkan kerana Nur Farhana masih bercuti sehingga 25 Februari ini.

Katanya, Nur Farhana juga masih belum dimaklumkan mengenai keputusan itu dan surat belum dihantar kepadanya.

Katanya, keputusan itu dibuat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang hasil perjumpaan di Kementerian Pendidikan sebelum ini.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Nur Farhana disedari suaminya selepas guru agama itu tidak pulang ke rumah mereka di Langgar, Alor Setar 14 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan dilaporkan berkata, suami mangsa memaklumkan isterinya pernah menerima rawatan kemurungan pada 2014 dan dipercayai mengalami masalah sama berikutan berulang-alik setiap hari dari Langgar ke Balik Pulau untuk mengajar.

Jarak sehala Langgar ke Balik Pulau ialah kira-kira 100 kilometer dan guru berkenaan dikatakan sudah banyak kali memohon berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya.

Berita berkaitan

JPN Kedah sedia bantu Ustazah Farhana

Beri ruang kepada Nur Farhana

Ustazah tidur di surau

Ustazah Nur Farhana ditemui di luar Pulau Pinang

Alhamdulillah, Ustazah Nur Farhana ditemui selamat

Guna K9 cari Ustazah Nur Farhana

Di mana Ustazah Nur Farhana?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 5:51 PM