Hasanuddin (kanan) bersama pegawainya melihat sebahagian daun ketum termasuk syabu dan cecair kodein yang dirampas. FOTO Syamsi Suhaimi.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my

BAGAI adegan dalam filem, apabila polis mengejar sebuah Proton Perdana dinaiki dua lelaki yang mencurigakan, sejauh dua kilometer dari Kampung Pak Mud, Jeli.

Mereka bagaimanapun berjaya ditahan selepas kereta hilang kawalan dan terbabas berhampiran sebuah stesen minyak di Kilometer 98 Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik dekat Jeli, 2.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, suspek berusia 23 dan 46 tahun diberkas dan pemeriksaan lanjut menemui 2,050 bungkusan berisi daun ketum seberat 410 kilogram (kg) dan syabu seberat 0.88 gram dianggarkan bernilai RM12,400.

Katanya, sebelum itu, anggotanya membuat rondaan di kawasan berkenaan dan terserempak kereta berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota mengekori kereta itu sebelum pemandunya sedar dan memecut laju. Dalam tempoh itu, mereka juga merempuh kereta peronda polis (MPV) sebelum terbabas.

“Kedua-duanya berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan. Pemeriksaan lanjut menemui daun ketum di dalam but belakang, dadah jenis syabu dan golok di bawah tempat duduk pemandu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, pihaknya turut berjaya menahan seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang memandu Proton Perdana berwarna perak di Jalan Raya Timur-Barat menghala ke Jeli.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 2,353 bungkusan berisi 589 kg daun ketum dan dadah kodein anggaran keseluruhan RM17,735,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati, ketiga-tiga suspek yang ditahan secara berasingan itu mempunyai kaitan dan saling mengenali satu sama lain, malah masing-masing memiliki rekod jenayah lampau.

“Keseluruhan, kita rampas 999 kg daun ketum. Siasatan awal mendapati bekalan dadah diperoleh di Kedah untuk pasaran Kelantan dan tidak tolak kemungkinan ia turut diseludup ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut untuk mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan, Senjata Berbahaya 1985.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 5:17 PM