GAMBAR hiasan
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


LELAKI warga emas direman tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri Saiditina Aisyah di Facebook.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sehingga kini, suspek, pemilik akaun Facebook bernama Foo Sing Wai disiasat mengikut dua seksyen.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan dan benci membenci atau niat jahat memudaratkan, pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan).

“Selain itu, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain),” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik atau berkongsi sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

Semalam Harian Metro melaporkan lelaki berusia 68 tahun terbabit ditahan sepasukan polis di sebuah rumah di Mentakab, Pahang.

Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan suspek ditahan susulan laporan dibuat oleh beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung pemilik akaun Facebook yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Berita berkaitan:

Semoga terima pembalasan sewajarnya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:32 PM