Penguat kuasa SAINS menjalankan ujian klorin di ladang ternakan itu dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS. FOTO Ihsan SAINS
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PENGUAT KUASA Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) menyerbu ladang ternakan di Rantau, Seremban selepas dikesan mencuri air untuk kegunaan ladang itu.

Serbuan dilakukan 11 pagi 12 Februari lalu selepas pihak terbabit menerima laporan mengenai aktiviti itu.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata, siasatan pihaknya mendapati pemilik ladang itu melakukan penyambungan haram tanpa melalui meter menggunakan paip mudah lentur bersaiz 16 milimeter.

“Air yang diperoleh daripada penyambungan itu dipercayai digunakan untuk keperluan ternakan dan urusan harian pejabat di kawasan ladang berkenaan.

“Pegawai penguat kuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di lokasi itu dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS,” katanya hari ini.

Norzita berkata, SPAN turut menyita semua pepasangan dan punca sambungan serta mengeluarkan notis kepada pemilik premis berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, SAINS akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di negeri itu sebagai langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil.

“Tindakan tegas ini adalah salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 3:26 PM