Mohd Fakhrulrazi terselamat daripada hukuman penjara lapan bulan. FOTO Arkib NSTP.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@nstp.com.my


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar didenda RM1,800 atas sabitan kes fitnah berhubung kenyataan dalam perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

Hukuman diputuskan Mahkamah Rayuan di Putrajaya, hari ini yang dibarisi panel tiga hakim diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid selepas membenarkan rayuan tertuduh terhadap hukuman penjara lapan bulan.

Turut serta hakim, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan.

Umi Kalthum berkata, mahkamah sebulat suara mengetepikan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menggantikannya dengan denda RM1,800.

Mohd Fakhrulrazi boleh dipenjara enam bulan jika tidak membayar denda berkenaan.

Keputusan itu sekali gus menyelamatkan Mohd Fakhrulzazi yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) daripada hilang kelayakan sebagai ADUN di Selangor.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menyatakan seseorang disabitkan atas suatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lebih satu tahun atau denda lebih daripada RM2,000 boleh hilang kelayakan sebagai ADUN.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Februari 2018 mengekalkan sabitan kes fitnah dan hukuman penjara lapan bulan terhadap Mohd Fakhrulrazi berhubung kenyataannya ketika perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah menolak rayuan balas tertuduh dan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2016.

Mahkamah Sesyen sebelum itu mengenakan hukuman penjara lapan bulan terhadapnya selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pada 8 September 2015, Mohd Fakhrulrazi yang juga bekas bendahari Dewan Pemuda PAS mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut di hadapan Kompleks Sogo, No 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 4.30 petang, 21 Februari 2015.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dikendalikan oleh Tetralina Ahmed Fauzi manakala Mohd Fakhrulrazi diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 12:22 PM