SERAMAI 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dalam lingkungan usia 18 hingga 46 tahun dicekup pihak berkuasa di belakang stor premis di Wakaf Che Yeh malam tadi. FOTO Ihsan JIM Kelantan
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dicekup pihak berkuasa di belakang stor premis di Wakaf Che Yeh, malam tadi.

Mereka yang baru turun dari bas ekspres, bersembunyi di lokasi itu sebelum dijemput individu lain ke lokasi seterusnya.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan, Penolong Pengarah Imigresen Ruzaana Mohamed berkata, semua PATI dalam lingkungan usia 18 hingga 46 tahun itu dari Kuala Lumpur dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke negara asal.

“Kita menerima maklumat dari orang awam sebelum bergegas bersama sepasukan anggota dari Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) ke lokasi dan menahan semua mereka pada 7.30 malam.

“PATI itu dipercayai akan dijemput oleh individu lain untuk dibawa pulang melalui jalan haram,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Menurutnya, terdahulu Imigresen menerusi Ops Bersepadu (Bina & Sapu) yang bermula petang kelmarin sehingga pagi semalam menahan 16 PATI di empat lokasi sekitar Bachok dan Kota Bharu.

“Dalam operasi itu, turut ditahan dua keluarga warga Kemboja dari Kampung Kijang dan Jalan Sungai Keladi di sini,” katanya.

Katanya, semua PATI termasuk seorang wanita itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 56(1A)(c) akta yang sama.

“Kesalahan yang dilakukan adalah gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta menggunakan atau tanpa kuasa yang sah memiliki dokumen perjalanan atau perakuan yang dipinda atau dipalsukan,” katanya.

“Mereka kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 12:01 PM