MUHYIDDIN Yassin. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) terpaksa menangguhkan dahulu proses ekstradisi bekas eksekutif Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau Roger Ng ke Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkan lelaki itu berdepan satu kes di mahkamah, bulan depan.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau dinasihatkan oleh Peguam Negara Tommy Thomas supaya Ng dibawa ke mahkamah di negara ini terlebih dahulu.

“Saya dinasihatkan oleh Peguam Negara berserta surat rasmi beberapa hari lalu yang memaklumkan, Ng perlu hadir ke mahkamah di negara ini dan kesnya akan didengar pada Mac ini.

“Saya tidak pasti kes apa namun, pihak berkuasa sudah mengambil tindakan untuk membawanya ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA ke-47 Peringkat Kebangsaan 2019, di Putrajaya, hari ini.

Katanya, pihaknya akan tetap melaksanakan proses ekstradisi ke AS, namun, paling utama kes di Malaysia diselesaikan terlebih dahulu.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 Januari lalu menolak permohonan Ng untuk dibebaskan dengan jaminan sementara permohonan pendakwaan untuk mengekstradisinya ke AS didengar.

Ng ditahan polis pada 1 November lalu berdasarkan waran tangkap dipohon oleh kerajaan AS sebelum lelaki itu dibawa ke mahkamah sehari selepas itu bagi proses dokumentasi.

Dia dituduh tanpa kehadirannya di mahkamah AS bersama rakan bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Mengikut tuduhan itu, Jho Low dan dan Ng bersubahat mengubah berbilion dolar wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan berkonspirasi untuk melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) dengan membayar rasuah kepada pihak berkuasa Malaysia dan Abu Dhabi.

Ditanya berhubung isu menghina Nabi Muhammad SAW yang dilakukan oleh pemilik akaun Facebook (FB) Foo Sing Wai baru-baru ini, Muhyiddin berkata, pihak polis sudah menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

“Saya sedar isu ini bukan perkara kecil. Malah, saya sudah maklumkan dahulu, seelok-eloknya mereka yang ada saluran media sosial supaya elak membangkitkan perkara yang dianggap satu penghinaan baik dari sudut agama, raja dan sebagainya,” katanya.

Polis hari ini menahan seorang lelaki berusia 68 tahun yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW di sebuah rumah di Mentakab, Temerloh, Pahang

Suspek ditahan susulan laporan dibuat beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak semalam.

Baru-baru ini, seorang pengguna FB dikatakan memuat naik gambar kartun berunsur penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW dan isteri, Saidatina Aisyah sebelum ia tular di media sosial.

Berita berkaitan:

'1MDB: Roger Ng diekstradisi ke AS

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 7:17 PM