Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


BEKAS anggota polis berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun selepas diberkas susulan penemuan 10 butir peluru dan gari di bilik asramanya di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas 11 pagi, 16 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, susulan penemuan itu, bekas anggota polis lelaki berusia 35 tahun yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan di rumahnya di Sungai Petani 2 pagi Ahad.

Katanya, suspek ditahan susulan satu laporan polis dibuat Pengurus Operasi sebuah syarikat keselamatan yang memaklumkan menemui beg plastik berisi 10 butir peluru dan gari yang disimpan dalam beg pakaian pekerjanya di asrama pekerja di Bayan Lepas.

“Pengurus berkenaan pada 16 Februari membuat pemeriksaan di rumah yang dijadikan asrama pekerja di Bayan Lepas sebelum menemui beg plastik berisi peluru dan gari milik suspek.

“Selain peluru dan gari, pengurus itu juga menemui sijil lahir, sijil nikah dan surat pelantikan polis di dalam beg sama,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa peluru itu diambil tanpa pengetahuan PDRM ketika berkhidmat di Cawangan Latihan IPD Ampang Jaya pada 2014.

Anbalagan berkata, suspek berhasrat memulangkan peluru itu pada PDRM namun terlupa berbuat demikian.

Katanya, lelaki itu menyertai polis pada 2004 sebelum menamatkan perkhidmatannya pada 2016.

“Bapa tiga orang anak itu direman empat hari dan akan dituduh di Mahkamah Balik Pulau mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 esok,” katanya.

Menurutnya, sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 6:16 PM