Tertuduh yang dihukum penjara 30 bulan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

SEORANG warganegara Bangladesh menangis teresak-esak selepas dihukum penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana melakukan gangguan seksual terhadap remaja perempuan.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu selepas tertuduh, Firoz Miah, 29, mengaku salah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggesel kemaluan di bahagian punggung mangsa berusia 14 tahun di sebuah pasar raya di Gong Badak, Kuala Nerus, pada 9.45 malam, 3 Ogos 2018.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, bapa mangsa berusia 43 tahun yang berada di pasar raya berkenaan ternampak tertuduh menggesel kemaluannya di belakang punggung anaknya.

Ketika itu, mangsa cuba mengelak dengan melarikan diri tetapi tertuduh bertindak mengekori dan melakukan perkara sama menyebabkan lelaki terbabit menghampiri tertuduh.

Tertuduh melarikan diri, namun berjaya ditahan pengawal keselamatan dan laporan dibuat di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 2:52 PM