Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


LELAKI yang membelasah wanita di dalam lif dekat Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, direman selama tujuh hari sehingga 25 Februari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, permohonan reman terhadap lelaki berusia 26 tahun terbabit dilakukan pagi ini.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan suspek yang diburu polis kerana membelasah seorang wanita di dalam lif terbabit akhirnya ditahan pada jam 8.10 malam.

Dalam kejadian jam 6.45 pagi Khamis lalu, seorang wanita berusia 48 tahun diserang seorang lelaki ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara.

Kejadian dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif berkenaan dan menjadi tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa yang menaiki lif seorang diri dipukul dan ditendang suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suspek belasah dalam lif ditahan

Suspek samun dalam lif MRT dikenal pasti

Ganjaran RM10,000 buru penyamun MRT

Belasah, samun dalam lif [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 2:52 PM