Gambar hiasan.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


SEORANG kontraktor diperdaya sindiket jualan langsung yang menjanjikan hadiah RM150,000 selepas membeli barangan elektrik bernilai RM3,500.

Malah barangan yang diterima tidak setanding harga menyebabkan lelaki berusia 40-an itu nekad membuat laporan polis selain aduan kepada Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, kejadian itu aduan pertama diterima pihaknya tahun ini dan akan cuba membela mangsa yang dipercayai ditipu sindiket.

Katanya, insiden berlaku pada 26 Januari lalu apabila mangsa yang berasal dari Alor Setar menerima surat daripada sebuah syarikat jualan langsung yang menawarkan hadiah lumayan kepadanya.

“Dia kemudian menghubungi ejen syarikat itu untuk pengesahan dan bersetuju untuk membeli barangan elektrik sebagai satu syarat bagi mendapatkan hadiah itu.

“Mangsa kemudian memasukkan wang RM3,500 ke dalam akaun bank yang diberi pihak terbabit melalui surat berkenaan.

“Beberapa hari kemudian, mangsa menerima barangan elektrik itu, namun ia keluaran China yang harganya jauh lebih murah daripada harga sebenar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yusrizal berkata, mangsa berasa tertipu apabila hadiah RM150,000 yang dijanjikan tidak diperoleh hingga kini, malah ejen syarikat itu gagal dihubungi.

“Susulan itu dia membuat laporan polis dan aduan ke pejabat CAKE. Kita akan cuba bantu mengesan ejen syarikat ini walaupun agak rumit sedikit,” katanya.

Beliau mengaku sindiket jualan langsung seperti itu kerap menukar taktik memperdaya mangsa selain bertukar alamat dan nombor telefon bagi mengelak gagal dikesan.

CAKE turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan yang menawarkan hadiah dengan mudah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

“Setakat ini lebih 60 aduan pengguna mendakwa mangsa sindiket jualan langsung atau ‘scammer’ yang menghantar surat tawaran hadiah kepada mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 11:30 AM