Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. FOTO Ihsan bomba.
Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

KANAK-KANAK lelaki yang hilang di Sungai Muanad, Kampung Muanad Tiga, Beluran, semalam ditemui lemas pada 7.47 pagi, hari ini.

Mayat Amanual Darius, 7, ditemui berhampiran tempat dia dilapor hilang selepas sejam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersambung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Rastam Keladi berkata, SAR disambung 6.30 pagi membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sandakan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Bomba Sukarela.

“Mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi dia hilang dan mayat dibawa naik serta diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Susulan penemuan itu, operasi SAR ditamatkan pada 8.05 pagi.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, mangsa hilang di tebing sungai itu ketika bermain bersama rakannya.

Difahamkan, hanya selipar mangsa ditemui di lokasi terakhir dia dilihat sebelum bapanya membuat laporan untuk gerakan SAR.

Berita berkaitan

Kanak-kanak 'ghaib' di tebing sungai

Gerakan cari mangsa lemas diteruskan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 10:58 AM