Lelaki maut digilis trak penunda di Lebuh raya SILK. FOTO Ihsan Pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


LELAKI maut digilis trak penunda dalam kemalangan di Kilometer 4, Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) arah Kajang, kira-kira 10.40 pagi, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, ketika kejadian, mangsa, Tai Chun Beng, 44, menunggang motosikal berseorangan dan cuba memotong trak penunda yang ketika itu sedang menunda sebuah bas.

Bagaimanapun, katanya, mangsa hilang kawalan ketika memotong trak penunda apabila gagal mengelak pekerja pembersihan jalan yang kebetulan berada di laluan itu.

“Mangsa yang gagal mengelak melanggar pekerja pembersihan jalan di tepi laluan berkenaan sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Mangsa terjatuh di bahagian tengah laluan jalan sebelum digilis trak penunda berkenaan yang ketika itu sedang menunda bas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada bahagian dada dan kaki kiri.

“Polis memohon saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil memberikan laporan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 7:34 PM