WAN Kamarul Azran (kanan) menziarahi Zaharuddin yang dirawat di Hospital Slim River. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin
cnews@nstp.com.my


SEORANG anggota polis trafik patah tangan kanan dan kaki kiri selepas terbabit kemalangan di Kilometer 115, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, Behrang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata dalam kejadian jam 8.50 malam, Koperal Zaharuddin Zakaria, 57, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim bersama dua anggota lain sedang mengiringi sebuah treler dengan motosikal dari Slim River menuju ke Tanjung Malim.

Menurutnya, anggota polis terbabit mengiringi kenderaan berat membawa muatan lebar dan siasatan mendapati ketika tiba dilokasi kejadian, dipercayai sebuah Perodua Kenari dari arah sama secara tiba-tiba memasuki lorong kanan tanpa memberi lampu isyarat membelok.

“Kereta dipandu seorang lelaki itu dipercayai menukar haluan dari kiri ke kanan secara tiba-tiba tanpa memberi lampu isyarat membelok lalu menghimpit motosikal ditunggang Zaharuddin hingga anggota terbabit terjatuh di tengah pembahagi jalan.

“Akibat kejadian itu, anggota polis terbabit patah pergelangan tangan kanan dan kaki kiri serta dirawat di Hospital Slim River,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sejurus selepas kemalangan, pemandu kereta bertindak cuba melarikan diri namun berjaya ditahan berhampiran susur masuk Plaza Tol Behrang, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Pemeriksaan mendapati, pemandu berkenaan adalah pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 24 tahun.

“Lelaki terbabit kemudian diambil keterangan sebelum dibebaskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Wan Kamarul Azran yang berkesempatan melawat mangsa di hospital, hari ini, berkata anak buahnya itu berada dalam keadaan stabil namun masih perlu menjalani rawatan lanjut di hospital berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 4:45 PM