Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


DENDAM dipercayai menjadi punca peniaga ditetak dua lelaki bersenjatakan pedang dalam kejadian di kedai perkakasan rumah di Kuala Besut, Jertih semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang, lelaki berusia 36 tahun putus urat siku tangan kiri dan luka di dahi akibat tindakan dua lelaki tidak dikenali yang memakai topi keledar dan bertopeng.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama pekerjanya berusia 36 tahun berada di kedai miliknya sebelum didatangi suspek.

Beliau berkata, dua suspek masing-masing memegang pedang menghampiri mangsa sebelum bertindak menyerangnya menggunakan senjata itu.

“Sejurus kejadian itu, dua suspek beredar dengan menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Besut namun dipindahkan ke Hospital Universiti Kubang Kerian untuk rawatan lanjut sebelum satu laporan dibuat pekerja mangsa di Balai Polis Kuala Besut,” katanya hari ini.

Mohd Zamri berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan dendam lama menjadi motif serangan itu kerana mangsa ada membuat laporan polis Januari lalu selepas kedainya dipecah masuk.

Katanya, pihaknya menahan dua suspek dengan seorang daripadanya didakwa di mahkamah berikutan laporan dibuat mangsa namun pihaknya masih menyiasat kaitan antara dua kejadian itu.

“Kita percaya mungkin kerana dendam namun siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk memburu dua suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 4:18 PM