Motosikal ditunggang remaja sekolah yang terbabit kemalangan maut malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


DUA pelajar sebuah sekolah di Butterworth maut dalam kemalangan di Kilometer 2.7 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) menghala Perai malam tadi.

Kemalangan 11.50 malam itu dikatakan berlaku apabila dua pelajar itu menunggang motosikal secara melawan arus sebelum bertembung dengan Mercedes yang dipandu lelaki berusia 21 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pertembungan itu menyebabkan motosikal terbabit terpelanting di jalan raya.

“Siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang pelajar lelaki berusia 17 tahun dan dibonceng pasangannya berusia 15 tahun terbabit dalam kemalangan apabila menunggang secara lawan arus sebelum bertembung dengan kereta.

“Motosikal itu terpelanting dan menyebabkan pemboncengnya maut di lokasi manakala pasangannya meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya hari ini.

Menurutnya, kedua-dua pelajar berkenaan maut akibat parah di kepala.

“Hasil siasatan, penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu.

“Dalam kemalangan itu, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 3:59 PM