Mohd Dali (kiri) menujukkan tapak projek Masjid Bandar Tasik Kesuma yang sudah dipenuhi semak. FOTO Asyraf Hamzah.
Hairulazim Mahmud
azim@hmetro.com.my

SUDAH lebih tiga tahun, penduduk Bandar Tasik Kesuma, Beranang dan sekitarnya mengharapkan sebuah masjid didirikan di kawasan itu untuk kemudahan mereka beribadat.

Malah, penduduk hampir putus asa apabila surat terakhir diterima daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan permohonan berkenaan tidak tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi Selangor.

Menjelaskan hal itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Mohd Dali Abdullah berkata, surat terakhir yang diterima sangat mengecewakan mereka.

“Pada Mac 2018, saya menerima salinan surat daripada JAIS kepada Menteri Besar yang memaklumkan bahawa pembinaan masjid itu tidak tersenarai dalam Rancangan Malaysia Ke-11 Negeri Selangor (RMK-11).

“Memang kecewa kerana kami sudah memulakan kerja-kerja permohonan ini mengikut saluran yang betul sejak 2015 sehingga kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), ” katanya ketika ditemui, hari ini.

Turut hadir Bendahari jawatankuasa itu, Mohd Amin Sarman.

Berikutan itu, beliau berharap permintaan itu diberi perhatian lebih-lebih lagi Bandar Tasik Kesuma terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) 2 Mac ini.

Katanya, tanah seluas lebih sehektar sudah diwartakan untuk pembinaan masjid berkenaan pada 2009 dan JAIS juga sudah memberi kebenaran kepada jawatankuasa untuk membina masjid di tapak itu 2015.

“Kami juga menubuhkan unit wakaf yang bertanggungjawab menguruskan wakaf pembinaannya, namun hingga kini hanya RM200,000 sahaja yang berjaya dikutip dan ia sudah diserahkan kepada Perbadanan Wakaf Selangor dengan laporan transaksi setiap bulan,” katanya.

Mohd Dali mengakui jumlah itu terlalu sedikit memandangkan pembinaan masjid dijangka mencecah RM14 juta untuk memuatkan lebih 2,000 jemaah.

Dakwanya, tiada pihak swasta mahupun institusi kewangan mahu menyumbang dana sekiranya kerja pembinaan tidak dimulakan.

“Kini semuanya tergantung dan senyap tanpa berita, sedangkan kami sudah ke semua peringkat untuk memohon masjid ini,” katanya.

Buat masa ini, katanya, penduduk terpaksa bersolat Jumaat di beberapa surau dan masjid berbeza iaitu Surau Al-Kauthar di Fasa 3; Surau Institut Industri Jepun MARA (MJII); Surau Al-Ihsan dan Masjid Kampung Rinching yang berjarak tiga kilometer.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 3:54 PM