Aziz (dua dari kanan) diiringi penguat kuasa Imigresen di Mahkamah Sesyen Pekan Nenas hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


PEMILIK restoran di Taman Nong Chik, Johor Bahru, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Imigresen di Pekan Nanas hari ini selepas mengaku salah membenarkan enam imigran haram tinggal di premisnya pada 14 November lalu.

Hakim Zahilah Mohammad Yusoff menjatuhkan hukuman denda itu selepas Aziz Abu Bakar, 69, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah ke atasnya.

Mengikut kertas pertuduhan, Aziz didakwa sebagai penduduk tempatan membenarkan enam imigran haram tinggal dan masuk di restorannya pada 14 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram, jika sabit kesalahan.

Aziz yang diwakili peguam Baharudin Baharin mengemukakan rayuan dengan memberikan alasan kurang sihat, menghidap sakit jantung, darah tinggi serta kencing manis.

Aziz antara tujuh majikan berusia 23 hingga 69 tahun dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM80,000 selepas mengaku salah atas pertuduhan sama, membenarkan imigran haram tinggal di premis mereka.

Tertuduh lain, pemilik kedai kopi di Labis, Tey Yit Hua, 36, didenda RM5,000; P’ng Chuan Hong, 53, (RM5,000); Wahyun Ansar T R Manyak, 23, (RM15,000); Steven Ling Leong Seng, 32, (RM10,000); Lim Wei Jin, 36, (RM5,000) dan Wong Yew Fah, 43, (RM10,000).

Semua majikan terbabit dikenakan tindakan dalam operasi Jabatan Imigresen Johor di premis mereka bermula 16 Oktober 2018 hingga 5 Januari lalu dengan tangkapan 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 20 hingga 40 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Johor, Norhasimah Othman.

Sementara itu, pada prosiding di mahkamah sama, seorang warga tempatan berusia 49 tahun didenda RM1,700 dan jika gagal membayar denda boleh dipenjara sebulan selepas mengaku salah gagal menunjukkan pasport ketika mahu meninggalkan negara ini.

Tertuduh R Balamurugan, 49, didakwa melakukan perbuatan itu antara kaunter MA04 dan MA05, Kawalan Motosikal Keluar di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru, pada jam 8.45 malam, 7 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 2(2) Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 3:00 PM