Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya membongkar makmal memproses heroin dan menahan empat ahli sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Pengarahnya, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan jam 9.20 pagi itu, pihaknya merampas heroin, serbuk kafein dan pelbagai peralatan memproses dadah bernilai RM556,000.

Mohmad berkata, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan sekitar Butterworth, Ayer Itam dan Jelutong.

“Kita membongkar makmal memproses dadah dalam serbuan pertama di Butterworth serta menahan dua lelaki berusia 33 dan 34 tahun.

“Susulan daripada itu, dua lagi lelaki berusia 32 dan 49 tahun yang juga ahli sindiket terbabit ditahan dalam serbuan di Ayer Itam dan Jelutong,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, polis turut menyita empat kenderaan iaitu Toyota Alphard, Nissan Serena, Proton Saga FL dan Proton Wira Aeroback yang semuanya bernilai RM392,000.

“Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM8, 200.

“Semua suspek direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 2:54 PM
MOHMAD (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian rampasan heroin, serbuk kafein dan pelbagai peralatan memproses dadah. FOTO Ramdzan Masiam