GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


TIGA ‘penganggur mewah’ yang juga tokan syabu dan ekstasi dicekup di rumah Taman Goodland, Betong, kelmarin.

Dalam serbuan 8 malam itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita, masing-masing 24 hingga 39 tahun.

Hasilnya, polis merampas syabu dan ekstasi dianggarkan bernilai hampir RM17,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat awam sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis menemui syabu yang sudah dibungkus dalam 53 plastik lutsinar.

Katanya, polis turut menemui sembilan tablet pil ecstasy, dengan kesemua dadah berkenaan dirampas ditemui dalam bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek sudah menjalankan kegiatan pengedaran di Betong sejak 2017.

“Suspek begitu berhati-hati menjalankan kegiatan haram ini kerana bimbang dihidu pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sahar berkata, polis turut merampas pikap Toyota Hilux dan tiga cincin emas dianggarkan bernilai lebih RM127,000.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Betong untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 1:52 PM