GAMBAR hiasan
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SEORANG pelajar pengsan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menyertai acara larian 200 meter sukan tahunan sekolah di sebuah kompleks sukan dekat Labuan, semalam.

Dalam kejadian jam 8.55 pagi itu, pelajar perempuan berusia 16 tahun itu disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Nukleus Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang guru.

“Ketika acara larian 200 meter sedang berlangsung, pelajar tingkatan empat itu tiba-tiba rebah kira-kira 20 meter sebelum sampai ke garisan penamat.

“Mangsa tidak sedarkan diri dan seorang guru yang berada berhampiran pelajar itu segera memberi pertolongan awal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Farid berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala ahli keluarga turut dimaklumkan berhubung kejadian itu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba, mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya.

Muhamad Farid berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun masih dalam siasatan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 10:23 AM